sape ckp aku tak sokong PPSMI

Saya sebenarnya seronok sampai nak melompat-lompat setelah mendapat tahu pendidikan Sains dan Matematik akan mula diajar semula dalam bahasa Melayu. Tetapi memandangkan ramai yang tidak berapa seronok dengan langkah itu, saya rasa terpanggil untuk mengembalikan senyum riang ke muka-muka mereka.

Oleh itu, di sini saya lampirkan beberapa cadangan untuk memartabatkan kembali bahasa Inggeris. Sudah tentu cadangan ini di luar pengaruh pendidikan Sains dan Matematik.

1. Kita boleh mengesyorkan kerajaan kita mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris. Atau untuk menjadi tepat siasi (politically correct), semua mata pelajaran bahasa ibunda boleh di ajar dalam bahasa Inggeris. Langkah ini kalis gagal (foolproof) kerana bahasa tersebut sebolehnya dituturkan walaupun tanpa pendidikan formal.

2. Pendidikan jasmani juga harus dijalankan dalam bahasa Inggeris. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat kanak-kanak kerana mata pelajaran ini sering menjadi mata pelajaran kegemaran kerana mereka selalu menyangkakan tiada isi akademik dalam pelajaran ini. Mereka salah. Jadi pasukan bola sepak dari sekolah yang berbahasa Tamil tiada kelebihan taktikal dari segi bahasa bila bertarung dengan pasukan dari sekolah yang berbahasa Melayu. Mutu sukan negara bakal maju.

3. Pendidikan Islam, moral, dan sivik harus diajar dalam bahasa Inggeris. Ini kerana kanak-kanak itu masing-masing selalu menerima leteran berbentuk nasihat, ceramah, atau khutbah membina dari ibu bapa dalam bahasa ibunda. Pengajaran agama dan moral dalam bahasa Inggeris akan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka, di samping membolehkan mereka berinteraksi dengan lebih berkesan di persada antarabangsa dalam hal ehwal agama dan falsafah. Ini melahirkan warga global.

4. Semua kegiatan kokurikulum wajar diinggeriskan. Dengan itu pelajar perlu mahir dalam gaya bahasa Inggeris yang lebih padatangan (hands on) dan harian, dan bukan setakat boleh membaca komponen sastera bahasa Inggeris. Lord Baden Powell pasti tersenyum simpul di Syurga.

5. Semua pernyataan, papan tanda, pengumuman sekolah wajar dinggeriskan. Dengan ini kanak-kanak ini dapat mengalami nikmat kegemilangan brother schools yang dialami warga Malaysia elit yang lebih emas. Once upon a time.

6. Bagi memperhebat langkah di atas, nama sekolah, cogan kata sekolah, dan lagu sekolah juga wajar diinggeriskan. Sebagai contoh, Sekolah Sultan Sulaiman bolehlah kita jadikan King Solomon Grammar. Dengan itu identiti pelajar sudah terasa inggeris dari asas. Bagi sekolah-sekolah yang merasakan elitis dan terasing dari dunia marhaen yang pincang susunan dan hierarki, boleh juga diadakan cogan kata dalam bahasa Latin seperti 'Fiat, Sapenta, Virtus', lagak sekolah-sekolah elit di Eropah.

7. Apa-apa kegiatan sosial yang tidak digalakkan oleh sekolah juga perlu diinggeriskan. Kegiatan merokok, berdua-duaan, gangsterisme, dan sebagainya perlu diinggeriskan agar pelajar-pelajar secara amnya mahu mula berbahasa inggeris kerana terpengaruh dengan kedinginan (cool) aktiviti sebegini. Dengan itu fenomena pengamerikaan demografi sekolah yang sudah kita lihat berlaku di sekolah-sekolah lembah Klang akan merebak dengan pantas ke seluruh pelusuk negara. Anandakrishnan kaya lagi.

8. Di luar sekolah, dunia media khususnya, harus melahirkan lebih banyak program tempatan berbahasa Inggeris. Kerana semenjak dulu, program berbahasa Inggeris tempatan sudah tepu dengan cerita klise percintaan/persahabatan multikaum yang hidup mereka berkisarkan dunia seni dan kemanusiaan di mana soundtrack hampir selalu direka oleh penyanyi/pemuzik rock Kristian, dunia Media perlulah membikin lebih banyak program yang lebih realistik dan dekat pada hati rakyat kebanyakan. Sebagai contoh, filem mengenai ahli politik Melayu yang jujur, bersih, gigih dan bekerja keras; program bersiri TV mengenai seorang Ah Beng yang pemurah, kasih alam, dan tidak berkira; atau filem mengenai seorang profesional Jaffna yang sentiasa waras, cerdas minda, dan hanya menikmati minuman yang baik sekali-sekala.

Saya berharap badan pelaksana negara mempertimbang syor yang telah diberi. Saya juga berharap rakan-rakan yang tidak gembira dengan pengembalian pendidikan Sains dan Matematik kita ke bahasa Melayu lebih ceria dan optimistik di masa yang akan datang.

Saya juga berharap pejuang dan pakar bahasa mula berusaha keras memperkinikan bahasa Melayu agar masalah tidak timbul di masa hadapan.

**setelah sekian lama tak update blog, satu lagi copy past dari facebook kawn lama di mrsm
Labels: | edit post
3 Responses
  1. norain shari Says:

    salam..

    mati mati aku ingat ni idea ko sendiri! tp idea ni agak "bernas" lah. =))

    p/s: aku mcm setuju plak ngan idea PPMSI ni. :p


  2. mostly dak2 mmu semua setuju..aku pn setuju, but takyah la start dari skolah rendah..bg la anak2 malaysia belajar dlm bm dulu masa sek rendah =P


  3. norain shari Says:

    tp nnti akn ade isu baru. dieorg lambat belajar sbb da besar br start dlm BI. tp belajar BI sendiri pun ade yg failed. huhu